Jumaat, 18 November 2011

Pengharaman Arak

Pengharaman Arak

ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda:

“Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit” (riwayat Muslim).

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. ” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)

Allah SWT Melaknat Sepuluh Golongan Yang Terlibat Dengan Arak

” Diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa rasulallah s.a.w telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:

1. orang yang memerah arak

2. orang yang diminta arak diperah untuknya

3. orang yang meminumnya

4. orang yang membawanya

5. orang yang meminta dibawa arak kepadanya

6. orang yang memberi minum arak kepada orang lain

7. orang yang menjual arak

8. orang yang mendapat hasil daripada arak

9. orang yang membeli arak

10. orang yang meminta dibelikan arak untuknya “

(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Huraian Hadith

i) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat

Arak Merosakkan Akal Manusia

Rasulullah s.a.w bersabda lagi,yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith

1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.

2. Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.

3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.

4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.

5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.

ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.

iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)

Azab Bagi Golongan Yang Terlibat Dengan Arak

Diantara hadith-hadith mengenai azab peminum arak:

Didalam Hadith Nabi S.A.W mengambarkan tentang ancaman bagi peminum arak, sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir r.a dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Subhanahu wata’ala memiliki janji untuk orang-orang yang meminum minuman keras (yang memabukkan), akan memberinya minum dari Thinatul khabal” mereka bertanya : “ wahai Rasulullah, apakah Thinatil khabal itu ? beliau menjawab : keringat ahli neraka atau cairan kotor (yang keluar dari tubuh) penghuni neraka”.

(HR Muslim)

Ibnu Abbas meriwayatkan,Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa meninggal (Mati) sebagai peminum arak, maka ia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan seperti penyembah berhala” (HR Ath Thabrani, 12/45, Shahihul Jami’ : 6525)

Rasulullah SAW bersabda;

“Barang siapa mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, niscaya Allah Ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah.Yaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur.”

(HR.Imam Ahmad)

Wallahu’alam….
Oleh: HasnulHadiAhmad.Co

Khutbah Jumaat Fitnah Akhir Zaman

بسم الله الرحمن الرحيم

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dan ingatlah sekelian bahawa keselamatan dan kebahagiaan kita hanya bergantung kepada keimanan dan ketaqwaaan kita kepada Allah SWT semata-mata.

Dalam arus pembangunan dan kemajuan, yang pesat di jalankan dewasa ini, umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka. Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh manusia tetapi Islam menetapkan agar pembangunan dan kemajuan di asas dan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:

"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang sangat besar."

Harta benda dan anak-anak adalah nikmat daripada Allah SWT sekiranya di urus dan dijaga dengan baik dan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan oleh Islam. Seandainya harta benda dan anak-anak tidak diurus dan dijaga dengan baik seperti yang dikehendaki Islam, ia boleh memudaratkan kehidupan seseorang muslim dari segi keimanan dan ubudiyah-nya kepada Allah SWT dan boleh berlaku kelalaian dalam melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai Muslim.

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemung-
karan dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah tersebut boleh menghalang dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas :

1. Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari Islam daripada ulamak-ulamak yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman mereka dengan ajaran Islam
dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.

2. Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. Dalam perkataan lain memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Sabda Rasul SAW lagi berhubung dengan fitnah yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Sebenarnya apa yang dinyatakan oleh Rasul SAW di dalam hadis baginda, telahpun berlaku di dalam realiti kita hari ini. Ilmu telah diangkat atau ditarik balik. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ad-din atau ilmu syarak yang boleh memandu orang Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Selain itu berlaku pembunuhan di sana sini.

Di dalam realiti sekarang, sungguh kurang ulamak-ulamak rabbaniyun (ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud, wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka, beramal dengan panduan al- Quran yang berbunyi: "Sesungguhnya pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:

"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin, Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?". Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu meraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. Sabda Rasul SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."

Seterusnya Rasul SAW menjelaskan bagaimanakah amanah Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arabi datang menemui Rasul SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Arabi itu bertanya lagi, "Bagaimanakah amanah disia-siakan?" Rasul SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."