Jumaat, 8 Oktober 2010

Wahabi dan Ahli Sunnah Wal Jamaah

http://www.ustaznoramin.com/2010/02/wahabi-dan-ahli-sunnah-wal-jamaah.html
POSTED BY USTAZ NOR AMIN SAYANI BIN ZAINAL



Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog yang dhaif ini, Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana Beliau telah anugerahkan nikmat kesihatan dan kekuatan kepada kita semua. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan mulia Muhammad saw. Persoalan yang ditujukan oleh seorang pengunjung blog ini mengenai akidah wahabi dan ahli sunnah.

Islam adalah agama yang memberikan keselamatan, keamanan dan kesempurnaan kepada umatnya dan umat yang lain. Islam juga merupakan agama yang mempunyai budi pekerti yang sangat baik dari agama lain. Islam juga agama bersaudara dan agama yang menjamin keselamatan kepada semua umat Islam. Sejarah telah membuktikan ketika zaman kegemilangan Islam, semua umat Islam bernaung dibawah Nabi Muhammad saw. Kemudian setelah Baginda wafat, umat Islam dijaga dengan sempurna oleh khalifah umat Islam sehingga musuh-musuh Islam tidak berani untuk mengusik umat Islam, kerana dikuatiri diperangi oleh khalifah Islam ketika itu.

Berlakunya perpecahan umat Islam yang pertama ketika mana pemerintahan Khalifah Ali Bin Abi Talib, kerana semasa pemerintahan beliau berlakunya peperangan saudara antara Ali dan Muawiyah dan peperangan Ali dan Aisyah. Ramai umat Islam mati dimedan peperangan saudara itu. Daripada inilah berlakunya perpecahan umat Islam antara Muawiyah dan Syiah, Khawarij dan banyak lagi.

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah terdiri daripada mazhab Tauhid iaitu Asya’irah dan Al-Maturidiah dan dari mazhab fiqh terdiri dari 4 mazhab yang terkenal iaitu, Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Maliki, Imam Hanafi. Hujah-hujah mereka ini berlandaskan Al-Quran, Hadis dan Akal (Dalil Naqli dan Dalil Akli).

Nama Wahhabi atau Wahhabiyyah adalah berasal dari nama Abd Wahhab yaitu bapak kepada pengasasnya yang bernama Syaikh Muhammad bin Abd Wahhab Najdi. Mereka ini adalah golongan yang tidak bersetuju dengan huraian nama dan sifat-sifat Allah yang telah dibahaskan dalam kitab-kitab Ahli Sunnah. Mereka hanya berpegang dengan hujah ulamak-ulamak yang terdahulu yang mengatakan bahawa dalil percayanya Allah ialah dari Surah Al-Ikhlas dan ayat-ayat Tauhid yang lain. Mereka juga tidak bersetuju dengan ulamak-ulamak Al-Sunnah menganai bid’ah yang telah dihuraikan oleh Imam Syafie dan ulamak-ulamak yang lain. Banyak lagi masalah-masalah agama yang tidak sehaluan antara Wahabi dan Al-Sunnah. Maaf di sini saya cerita secara ringkas sahaja sebagai pengetahuan umum sahaja dan untuk mengelakkan salah faham dari sesetengah pihak yang membaca.

Pandangan saya, sebenarnya kedua-dua golongan ini adalah betul dan tidak salah, kerana masalah yang dipertikaikan adalah masalah khilafiah (bersalahan pendapat ulamak) mengenai perkara-perkara furuk(bukan masalah pokok agama). Contohnya kenduri arwah, baca yassin malam jumaat, tahlil, Imam membaca doa dan banyak lagi. Masalah ini telah lama diselesaikan oleh ulamak-ulamak terdahulu seperti Imam syafie telah membahagikan bid’ah kepada dua iaitu bid’ah dholalah (perkara baru yang tidak baik) dan bid’ah hasanah (perkara baru yang baik). Bagi saya jika tidak mahu melaksanakan perkara bid’ah seperti yang didakwa Wahabi haram, maka jangan buat bagi orang yang mendakwanya haram dan jangan menyalahkan orang lain yang melaksanakan. Sebab perkara yang dilaksanakan adalah bersandarkan kepada hujah-hujah ulamak yang muktabar.

Sepatutnya banyak lagi masalah-masalah besar yang perlu diselesaikan seperti keruntuhan akhlak muda-mudi Islam sekarang, sumbang mahram, dadah, seks bebas dan sebagainya. Tinggalkan segala perbezaan khilafiah antara Wahabi dan Al-Sunnah dan mari bersama-sama mencari teknik atau cara untuk menyelesaikan masalah-masalah penyakit umat ini. Imam Syafie ketika pergi solat subuh di masjid pengikut Imam Hanafi tidak membaca khunut. Beliau apabila lalu kawasan kubur Imam Malik turun dari kudanya sebagai tanda penghormatan. Kenapa semua tidak boleh jadikan kisah Imam Syafie sebagai tauladan untuk menghormati pandangan orang yang berbeza dengan kita. Bersalahan pendapat adalah fitrah dan hidayah Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan